Friday, 24 April 2020

Harumanis belakang rumah keluar hasil lebih 200kg


ALOR SETAR,. Tanaman harumanis yang diusahakan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Wahab, Mazlan Abu Bakar di sini mengeluarkan hasil lebih 200 kilogram (kg) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak fasa satu.
Mazlan,51, berkata, beliau mula mengusahakan tanaman harumanis dengan menanam 60 batang pokok itu di atas tanah berkeluasan 0.2 hektar di belakang rumahnya sejak tiga tahun lalu.
Katanya, beliau terpanggil mencuba nasib menanam harumanis selepas melihat faktor cuaca dan tanah di Kedah hampir sama seperti Perlis meskipun sedia maklum tanaman itu banyak diusahakan di Perlis berbanding di Kedah.
“Alhamdulillah, cubaan berkenaan membuahkan hasil apabila harumanis yang ditanam memiliki warna, bau wangi dan rasa manis hampir sama seperti harumanis Perlis.
“Secara kebetulannya, 30 batang pokok mangga harumanis yang ditanam telah mengeluarkan hasil lebih 200 kilogram (kg) ketika tempoh PKP ini,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Mazlan berkata, hasil ‘Harumanis Alor Serdang’ yang dijual RM25 sekilogram turut mendapat permintaan tinggi ketika tempoh PKP ini sehingga tempahan terpaksa ditutup disebabkan hampir kehabisan buah.

“Malah, penghantaran buah harumanis kepada pelanggan tinggal sekitar 10 hingga 15 kilometer (km) dari rumah secara terus dan perkhidmatan kurier untuk ke negeri lain tetap berjalan lancar meskipun dalam tempoh PKP,” katanya.
Katanya, beliau turut memperoleh surat kebenaran dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk bergerak bagi membuat penghantaran secara terus.
“Saya tahu ada berlaku lambakan kurier di beberapa depo penghantaran sehingga mengakibatkan buah rosak, tetapi buah yang sampai kepada pelanggan buat masa ini semuanya berada dalam keadaan baik dan rata-ratanya sangat berpuas hati,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, beliau tetap menjalankan tanggungjawab hakikinya sebagai seorang guru dengan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran bersama anak muridnya berjalan seperti hari persekolahan biasa selama dua jam biarpun sibuk menguruskan tanaman itu.
Katanya, beliau akan menguruskan sendiri tanaman harumanis pada waktu petang selepas sesi pengajaran dan pembelajaran pada waktu pagi selesai demi memfokuskan tugasannya sebagai seorang guru.
Mazlan berkata, beliau mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk anak murid dan ibu bapa mereka untuk melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti memberi kerja rumah, latihan dan kuiz bermula jam 8 hingga 10 pagi.
“Jadi, jikalau anak murid tidak memahaminya, saya dapat berinteraksi terus dengan mereka dan memberi penerangan di dalam kumpulan tersebut,” katanya.
Menurutnya, beliau juga mengambil inisiatif dengan menjalankan program ‘Bijak Sifir’ yang mana pelajar perlu menghafal sifir satu hingga 10 dalam memenuhi tempoh PKP ini.

Pasar by GrabMart’ bantu peniaga kecil

KUALA LUMPUR,. Grab akan menambah lima lagi pasaran di sekitar Selangor dalam perkhidmatan ‘Pasar by GrabMart’ sejajar usahanya untuk memperkasa dan memastikan perniagaan kecil tradisional serta usahawan mikro tidak terpinggir dalam peralihan Malaysia sebagai sebuah negara digital.
Inisiatif berkuat kuasa 24 April itu menyusuli maklum balas positif terhadap ‘Pasar by GrabMart’ yang membolehkan pelanggan membeli pelbagai barangan segar, rempah ratus, hasil ternakan, hasil laut serta daging terus daripada Pasar (Besar) Taman Tun Dr Ismail atau TTDI dari kediaman masing-masing.
“Kami mendapat keputusan yang amat menggalakkan hasil daripada usaha untuk melindungi mata pencarian peniaga, pemandu dan rakan pelaksana ketika tempoh mencabar ini,” kata Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerjasama sempena Ramadan Grab dengan kerajaan dan pertubuhan tempatan akan turut memberi ruang lebih besar bagi melonjakkan sokongannya terhadap perniagaan kecil tradisional dan usahawan mikro.
“Kami berharap dengan membantu golongan itu bukan sekadar memberi manfaat kepada jutaan pelanggan Grab, tetapi turut melonjakkan platform membantu pelanggan mereka menikmati kemudahan itu,” katanya.
Syarikat itu juga secara aktif memberi sokongan terhadap restoran menerusi aliran tunai segera di bawah program kadar faedah sifar ‘Komisen Tertunda.’
Ia turut memperkenalkan komisen sifar bagi tujuan pengambilan sendiri oleh pelanggan serta menyerap semua kos transaksi pesanan menerusi saluran media sosial menggunakan pilihan bayaran GrabPay.
Goh berkata, hampir 8,000 peniaga telah mendapat manfaat daripada program Grab terbabit.
Lebih 100,000 pemandu GrabCar turut digerakkan bukan hanya untuk menyokong peningkatan permintaan khidmat penghantaran tetapi untuk memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi banyak impak terhadap perniagaan e-hailing.
Jelas Goh, walaupun pengurangan komisen peniaga boleh dianggap sebagai penambahbaikan sementara, hakikatnya sebahagian besar komisen itu dimasukkan ke dalam rangkaian penghantaran sebagai satu pendapatan.
Dalam pada itu, program bantuan perniagaan kecil Grab dan kempen Wira Tempatan syarikat itu turut menghasilkan sambutan menggalakkan dengan 30 peratus restoran dan penjaja kecil bebas menggunakan konsep penghantaran makanan secara dalam talian iaitu peningkatan jualan atau pesanan sebanyak 25 peratus.
– BERNAMA