Tuesday, 23 August 2011

THE AUSTRALIA SURVEY

Setelah lebih setahun mewar-warkan rancangan untuk berkunjung ke negara kangaroo dan pulau terbesar Australia, akhirnyanya hasrat kami dimakbulkan Allah pada 17 Ogos 2011.  Tepat jam 1.40 tengahari waktu tempatan pesawat Air Asia D7 2724 berlepas dari Kuala Lumpur. Dengan kelajuan pesawat 840km/jam perjalanan ke Melbourne mengambil masa selama 8 jam. Namun kepenatan yang dirasai di sepanjang perjalanan terubat apabila pesawat yang membawa kami selamat mencecah bumi Australia yang menjadi destinasi kami sejak setahun yang lalu. 
Menitis air mata apabila mengenangkan takdir Allah telah menentukan untuk kami sampai jua ke sini walaupun menghadapi kesukaran bagi menyediakan dana yang cukup untuk membuat lawatan kajian ini. Jutaan terima kasih kami sampaikan kepada insan yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan kajian ini.  Tidak lupa juga dirakamkan penghargaan kepada yang telah menjanjikan namun tidak kesampaian untuk merealisasikan sumbangan atas alasan tidak yakin dengan keupayaan kami atau  berdalih mahu melihat dahulu kesungguhan kami.
Seperti yang dijangka semua maklumat yang diperlukan hanya boleh diperolehi dengan berkunjung sendiri ke sini. Sebelum ini ramailah pimpinan atasan yang memberitahu bahawa data yang kami perlukan boleh diperolehi dengan meminta bantuan dari pelajar Malaysia di sini atau melalui pejabat kedutaan. Tidak perlu untuk kami datang membuat lawatan kajian ke sini.  Untuk makluman kalian, pelajar dan kedutaan pun tidak pernah tergambar untuk ke tempat yang kami ingin kunjungi.  Hakikatnya program murni ini tidak menjadi agenda utama mereka.  Mungkin kerana tiada laba untuk diri.
Walau pun terpaksa mengharungi musim sejuk dengan suhu minima 60C serta bulan Ramadan, kami tekad untuk meneruskan kajian yang amat penting ini.  Melbourne adalah sebuah bandaraya yang dihuni oleh ramai pendatang asing yang datang mencari rezeki. Kerajaan ‘berkebajikan’ Australia tidak membezakan di antara pendatang asing dan anak tempatan dari segi ketetapan gaji.  Semuanya dilayan sama rata.
Melbourne, bandaraya kedua terbesar di Australia selepas Sydney diasaskan oleh John Batman pada tahun 1835 adalah merupakan sebuah wilayah yang besar. Penduduknya ‘relax’.  Tidak terlalu sibuk dengan trafik dengan lalulintasnya yang teratur.  Keselesaan dan keselamatan pejalan kaki dan penunggang basikal sentiasa diutamakan. Bandaraya ini meriah dengan pelancong asing yang datang melawat. Harga petrolnya murah berbanding diesel.  Harga kereta terpakai di sini murah jika dibandingkan dengan di negara kita. Kereta buatan Jepun mendominasi jumlah kereta di kotaraya ini.  Akhbar di sini melaporkan bahawa perniagaan hartanah telah merudum sebanyak 30%. Pada penggiat hartanah inilah masa yang sesuai untuk membuat pelaburan hartanah di sini.
Hanya dengan berhubung melalui email akhirnya kami dapat bersua muka dengan tuan punya ladang-ladang di persekitaran Melbourne. Mereka terkejut dengan kegigihan kami melaksanakan program ini untuk membawa sebilangan besar orang Melayu bekerja di ladang. Mengikut kata mereka, setakat ini mereka belum pernah melihat orang Melayu bekerja sebagai pemetik buah di ladang-ladang. Kebanyakan pekerja adalah dari Myanmar, Vietnam dan Cambodia. Rakyat Pakistan dan India pula mengungguli kerja sebagai pemandu teksi. Kebanyakan orang Cina menjadi peniaga di pasar-pasar. Sebilangan kecil orang Melayu bekerja di pejabat.
Bersama Tuan Punya Ladang Di Yara Valley  



Mendengar Penjelasan Program

Bekerja sebagai pemetik buah adalah mengikut musim. Kita mempunyai pilihan untuk bekerja selama enam bulan di Victoria dan enam bulan lagi di Queensland. Mengikut cadangan asal kami, mereka ini hanya diberi peluang untuk bekerja selama setahun sahaja di Australia kerana ingin memberi peluang kepada orang lain pula untuk dating ke sini. Selepas kajian ini kami akan menyiapkan satu kertas cadangan yang lengkap untuk dikemukakan pada pihak kerajaan 1Malaysia yang rakyatnya diutamakan untuk dipertimbangkan. Dalam masa yang sama program ini akan tetap diteruskan dengan skala yang kecil sebagai projek perintis.

Ramai kenalan yang bertanya kenapa tidak mencari kerja di Malaysa. Hujah kami mudah di mana kami melihat dari sudut pertukaran wang asing sebagai faktor utama kenapa perlu bekerja di luar negara. Dengan kehadiran begitu ramai pekerja asing di Malaysia, berbillion ringgit negara dibawa keluar ke negara asal setiap tahun oleh pekerja asing yang membanjiri segenap pekan dan kota di Malaysia.  Adakah kita sebagai warganegara prihatin hanya membeku melihat panorama indah ini berlaku di depan mata. Keadaan ini cukup memberi kesan dan irihati kepada kami untuk bertindak sesuatu untuk seiring dengan warga asing yang sudah bertahun-tahun melonggokkan timbunan harta hasil usaha gigih mereka menggali khazanah negara.  Ratusan tahun negara tercinta dan bumi bertuah ini dijajah di mana hasil bumi negara dipunggah dengan rakusnya dan dibawa pulang oleh penjajah untuk membangunkan negara mereka. Kenapa ‘penjajahan’ kali kedua ini kita biarkan tanpa kita merasai kehilangan harta yang begitu banyak dibawa keluar secara ‘legal’ dari negara kita.   Walau pun ia dilihat sebagai program picisan dan dipandang sinis oleh kebanyakan khalayak termasuk mereka yang bergelar wakil kepada rakyat namun kami yakin penganjuran program bekerja di luar negara ini akan  membantu golongan yang tersisih dan melukut di negara sendiri, khususnya para bankrap.

Adalah menjadi hasrat murni program ini untuk membantu para bankrap yang menghadapi kesukaran untuk  mendapat pekerjaan dan kepercayaan kerana mereka telah dilabel sebagai insan yang gagal.  Dengan kemampuan menjana pendapatan harian di Australia sebanyak AUD200 dengan jumlah 26 hari bekerja sebulan, pendapatan yang bakal dijanjikan adalah sebanyak AUD5,200 (RM16,640!).  Apakah ada kerja makan gaji di Malaysia untuk mereka (para bankrap) menjana gaji sebanyak RM16,640 sebulan? Setelah diambilkira segala perbelanjaan saradiri di sini, lebihan pendapatan tersebut mampu untuk membayar hutang piutang mereka, Insya Allah.  Andaikata sebulan mereka membayar sebanyak RM5,000 sebagai ansuran untuk melunaskan hutang mereka, hutang sebanyak RM50,000 akan dapat diselesaikan dalam tempoh 10 bulan sahaja.  Bagi mereka yang berhutang di sekitar jumlah tersebut sudah tentu selepas tempoh setahun mereka bekerja di sini mereka akan menjadi insan ‘bebas’ dan mampu untuk memulakan penghidupan yang baru. Itulah harapan dan hasrat murni program ini.
Kami juga mensasarkan golongan lepasan kolej dan institusi pengajian tinggi yang berdepan dengan keadaan yang ‘liat’ untuk mendapat pekerjaan di Malaysia.  Mereka adalah pemastautin yang ramai di negara kita dan kerap menjadi cemuhan masyarakat dan sentiasa dikaitkan dengan sebarang kejadian tidak tenteram yang berlaku.    
Hasil kajian yang dibuat telah memberikan isyarat positif berhubung peluang pekerjaan di sini. Apa yang perlu diusahakan dan disokong adalah menyediakan pinjaman bagi pembiayaan untuk mereka ini bekerja ke luar negara. Kos untuk seorang untuk pembayaran VISA (permit kerja), tiket penerbangan, tempat tinggal, pengangkutan dan sedikit wang sebagai permulaan dianggarkan sebanyak RM15,000. Kami mencadangkan pembayaran balik pinjaman pembiayaan tersebut dibayar dalam tempoh 3 bulan (12 minggu) iaitu sebanyak RM1,250 (AUD400) sahaja. Oleh itu segala bentuk bantuan amatlah diperlukan bagi menjayakan usaha ini.


 

3 comments:

  1. tuan/puan sekiranya saya berminat bagaimana??? email saya azharbakar6578@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Tuan yg budiman...saya amat berminat mengikuti program ini dn niat murni utk mrncari rezeki di bumi Australia dgn keberkatan...email saya mekluv@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Tuan yg budiman...saya amat berminat mengikuti program ini dn niat murni utk mrncari rezeki di bumi Australia dgn keberkatan...email saya mekluv@gmail.com

    ReplyDelete